Wednesday, December 3, 2014

Dilema Seorang Suami




Soalan :

Saya amat kecewa apabila isteri terlalu mendengar kata ibunya hingga mengetepikan saya sebagai suami dalam membuat apa jua keputusan. Sepanjang perkahwinan, saya sering dipinggirkan sehingga kadang kala ia membuatkan saya tertekan.

Jawapan:

Sebagai suami dan ketua keluarga, anda mesti mendidik isteri memahami tentang peranan dan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. Jelaskan kepadanya yang dia mesti mengutamakan suami berbanding ibunya seperti mana mengikut hukum dalam agama Islam.

Terangkan dengan ayat yang mudah, lenggok bahasa lembut, bukan marah-marah, mencaci dan mengarah. Mungkin isteri telah dididik, ibunya adalah segala-galanya. Maka anda bertanggungjawab membetulkan fikirannya perlahan-lahan dengan hujah-hujah daripada hadis Rasulullah SAW dan ayat al-Quran mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami.

Walaupun kelihatan seperti anda gagal bertindak sebagai suami dalam mendidik dan membentuk isteri untuk patuh dan taat kepada suami tetapi ia bukan salah anda sepenuhnya. Sebaliknya isteri anda juga bersalah kerana tidak tahu membezakan keutamaan dalam memberi ketaatan.

Sebagai wanita yang sudah bersuami, ketaatan lebih utama ialah kepada suami selagi perintah dan larangannya tidak melanggar kehendak syariat. Namun, saling menyalahkan tidak akan meredakan keadaan. Sebaiknya ia perlukan penyelesaian bukan sekadar mengenal pasti punca dan menunding jari menyalahkan semua.

Kepada para ibu di luar sana, jika benar sayangkan anak tidak kira anak lelaki atau anak perempuan, bantu mereka untuk menjadi seorang suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan salah guna kuasa sebagai ibu hingga menjadikan anak anda seorang suami atau isteri yang gagal melaksanakan peranannya dan menerima azab atas kegagalan tersebut di akhirat kelak. Nauzubillah!

0 comments:

Post a Comment